Jumaat

Bir Haram, Bir Halal

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ini adalah rentetan entry Arak Halal dah Haram?

 http://1.bp.blogspot.com/_k7obIH7aiw8/TOiiNwfbQoI/AAAAAAAAElE/r7ucvsLX0n4/s1600/pinangsia%2Bnoodle%2Bkingsford%2Bindonesian%2Bfrost%2Bklasik%2Brut%2Bbir.JPG

AWAL 70-an, sebagai anak teruna kampung yang baru datang ke KL, saya selalu ingat pesan emak dan abah: Jangan sekali-kali minum arak, sebab itu dosa besar! Maka, tentu saya amat serba salah apabila pada hari ketiga bertugas di meja pemberita Utusan Melayu, bos mengajak saya minum ‘beer’.
Dia membawa saya ke sebuah restoran A&W di Petaling Jaya, dan belum apa-apa telah meminta dua gelas besar ‘roots beer’. Dia meneguknya tanpa rasa bersalah, sedangkan saya rasa amat berdosa mengingkari perintah orang tua, juga perintah agama.

      Macam hendak menangis saya sebab melakukan dosa besar. Air coklat lagi berbuih itu masuk ke tekak saya, bagaikan melonjak-lonjak hendak dimuntahkan. Betapa leganya saya apabila seminggu lepas itu baru mengetahui bahawa ‘arak’ yang saya teguk itu adalah ‘beer’ halal.
‘Roots Beer’ yang kini disebut dalam bahasa Melayu sebagai ‘rut bir’ (kenapa tidak bir akar!) adalah minuman tanpa alkohol, dan bukan arak. Sengaja saya bangkitkan nostalgia ini untuk membuktikan bahawa empat dekad lalu sudah ada bir halal di tempat kita.


      Sebab itu apabila sehari dua ini orang Islam sibuk bercakap mengenai bir halal yang kini dijual secara terbuka di kedai dan restoran, saya tidak terkejut. Sejak ‘dosa’ pertama bersama bos dulu saya telah meneguk bir halal mungkin lebih 10 tempayan besar.
Masalah timbul apabila pihak berkuasa Islam meragui status halal sejenis bir yang dikatakan mengandungi alkohol melebihi dari paras yang dibenarkan. Peraturan menetapkan bir dikira halal sekiranya kandungan alkohol tidak melebihi 0.01 peratus. Pengedar produk Istak menafikan kandungan alkohol dalam bir yang diproses di Iran itu melebihi 0.01 peratus.

      Pegawai Perhubungan Awam Malaysia-Iranian Corporation Sdn Bhd, Raja Faizul Effendi Raja Abdul Karim berkata, produk Istak yang mempunyai 12 perisa adalah 100 peratus bebas daripada kandungan alkohol.

      Produk itu sekarang dalam proses menunggu kelulusan bagi mengguna pakai logo Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Produk itu juga telah melepasi peraturan piawaian halal bagi membolehkannya menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 di Kuala Lumpur.

      Isunya sekarang ialah bir dari Iran itu masih menunggu kelulusan logo halal Jakim. Kalau rut bir restoran hotdog terkenal itu boleh mendapat kelulusan halal Jakim, pasti Istak pun akan menerima sijil halal Jakim sekiranya produk tersebut mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Tidak ada apa yang hendak dikontroversikan, peminat bir Iran itu hanya perlu menunggu kelulusan Jakim. Sementara itu minumlah dulu bir halal di restoran makanan segera berasal dari Amerika itu.
Lepas ini jangan ada lagi pengedar yang memasarkan minuman bernama bir, sebab nama itu sendiri mengelirukan. Carilah minuman lain – sirap bandung, air mata kucing, kopi tongkat Ali, teh kacip Fatimah, dan sebagainya – asal jangan bir.

      Orang kita pelik dan suka buat sensasi. Tidak lama dulu ada ura-ura untuk memperkenalkan ‘bak kut teh halal’. Semua orang tahu ‘bak kut teh’ itu adalah makanan popular di kalangan masyarakat Cina yang diperbuat daripada daging babi.
Walaupun ramuannya ditukar kepada kambing, ayam, lembu dan sebagainya istilah asal itu tetap membawa erti babi. Mana ada babi halal? Mujurlah cadangan ‘bergeliga’ lagi ‘mengada-ada’ itu mendapat tentangan, kalau tidak orang Islam di negara ini akan makan ‘babi’.
Sementara bersetuju 100 peratus dengan keprihatinan Jakim supaya orang Islam jangan minum bir halal yang kandungan alkoholnya diragui, saya berharap jabatan tersebut prihatin juga terhadap penjualan arak yang berleluasa di negara kita sekarang.

      Arak dijual di mana-mana sahaja, dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja. Di kedai serbaneka yang dibuka 24 jam, arak diletakkan bercampur dengan minuman-minuman ringan lain.
Sementelahan pula Malaysia mempunyai dua kilang arak berbesar di rantau ini. Maka tidak menghairankan lebih mudah mendapatkan arak daripada hendak membeli kelapa.

      Oleh sebab dijual secara terbuka, orang minum arak pun terbuka juga. Memang ada seorang dua yang kena tangkap, tetapi berpuluh ribu lagi terus minum bir haram dengan bangga, tidak ada siapa pun peduli.
Perangkaan menunjukkan dalam tempoh 2004 hingga 2009, sebanyak 1,673 orang Islam dikenakan tindakan di bawah penguatkuasaan minum minuman memabukkan di seluruh negara. Dalam masa lima tahun tidak sampai 2,000 ditangkap sebab minum arak di tempat terbuka. Kelakar!

 oleh ABDUL JALIL ALI
sumber: Sinar
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

2 ulasan:

cik azeya berkata...

nak muntah je minum. ee tade selera. -.-'

Q berkata...

Azeya - seeloknya hindarkan jika ada minuman lain yang lebih baikkan..kan..kan..

Lihat juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...