Isnin

Membuka pekung didada?


[1] Perbuatan mencari-cari dan mendedahkan kesalahan dan keaiban seseorang adalah suatu perkara yang jelas larangannya di dalam al-Quran (Surah al-Hujrat, 49 : 12). Sebarang tindakan tersebut dalam apa jua bentuk mesti dijauhi dan ditentang supaya tidak menjadi budaya dalam masyarakat kita khususnya dikalangan umat Islam.

[2] Islam juga melarang ummatnya berprasangka (Surah al-Hujrat, 49 : 12). Larangan tersebut kerana prasangka mendatangkan bahaya dan menyusahkan ramai orang. Bagi mengelakkan wujudnya prasangka, maklumat-maklumat atau berita-berita tentang sesuatu perkara mestilah diambil daripada sumber yang benar dan beretika. Adapun sumber-sumber yang tidak memelihara etika dan sengaja mewujudkan persepsi negatif (sangkaan jahat), mestilah diboikot dan ditentang.


[3] Perbuatan fitnah dan menyebarkannya adalah suatu dosa di sisi Allah s.w.t. Orang yang membuat fitnah dan menyebarkan fitnah, kedua-duanya menerima azab seksa daripada Allah s.w.t. (Surah an-Nur, 24 : 11). Perbuatan meneruskan agenda fitnah dan penyebarannya adalah suatu perisytiharan terbuka terhadap perasaan tidak takut terhadap azab Allah s.w.t. Orang-orang sebegini mestilah dinasihati dan disekat daripada terus mendatangkan huru-hara dalam masyarakat.

[4] Sikap yang mesti dipegang oleh orang-orang yang beriman apabila berhadapan dengan berita fitnah ialah segera menafikan berita tersebut dan memberhentikan aliran penyebarannya (Surah an-Nur, 24 : 12, 16). Sikap ‘cakap-cakap kedai kopi’ dan membincangkannya secara terbuka (melaluli media cetak dan elektronk) hanya akan menggalakkan lagi penyebaran berita fitnah tersebut. Sudah pasti, cara tersebut adalah suatu perbuatan yang tercela dan membelakangkan cara yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

[5] Bagi mendakwa seseorang melakukan zina (atau liwat) mestilah dengan mendatangkan 4 orang saksi (Surah an-Nur, 24 : 13) yang adil dan tidak fasik. Jika gagal mengemukakan saksi, orang yang dituduh bebas daripada sabitan kesalahan tersebut bahkan orang yang membuat pertuduhan akan (mesti) dihukum. Orang yang dituduh adalah tidak bersalah selagi tidak disabitkan kesalahan tersebut setelah dikemukakan 4 orang saksi dan mestilah diberikan haknya, dilayan sebagai orang yang tidak bersalah dan dibersihkan namanya.

[6] Bersumpah dengan nama Allah (Wallahi, Wabillahi, Watallahi) adalah bertujuan untuk membersihkan nama seseorang daripada sebarang tohmahan dan ia bukannya suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah. Beerti sumpah adalah terletak pada orang yang dituduh bukannya pada orang yang menuduh. Sumpah tersebut pula mestilah dilakukan di dalam mahkamah dan dengan arahan daripada hakim. Sumpah yang dilakukan oleh orang yang mendakwa dan dilakukan di luar mahkamah adalah bukan daripada kaedah Islam.

[7] Kaedah yang paling tepat dalam menyelesaikan kemelut ini ialah dengan menurut kaedah Islam iaitu melalui hukum Qazaf. Kaedah-kaedah lain hanya akan memanjangkan dan mengkusutkan lagi kemelut ini serta menunjukkan sikap tidak ikhlas dan tidak bersungguh untuk menyelesaikan masalah tersebut bahkan seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’.

sumber: Abdul Rahim Abdullah

Tiada ulasan:

Lihat juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...